Abstract :
Artikel ini membincangkan aspek empati dan penghargaan kendiri di kalangan ibubapa dan hubungannya dengan gaya keibubapaan. Berdasarkan Model Keibubapaan Belsky, ciri ibubapa merupakan antara faktor yang mempengaruhi gaya keibubapaan. Dalam kajian ini, empati dan penghargaan kendiri telah dikenalpasti sebagai ciri ibubapa yang penting. Dalam konteks hubungan ibubapa dan anak, ibubapa yang empati akan lebih memahami anak-anak manakala penghargaan kendiri ibubapa akan mempengaruhi penilaian dan pandangan ibubapa terhadap anak-anak. Memahami dan menilai dengan positif adalah dua faktor penting untuk membolehkan ibubapa mendidik anak-anak dengan berkesan. Justeru, satu kajian telah dijalankan terhadap 300 ibu dan 277 bapa di Terengganu untuk melihat ciri ibubapa iaitu empati dan juga penghargaan kendiri. Sementara itu, kajian ini juga melibatkan anak responden yang berada di tingkatan empat bagi tujuan mendapatkan maklumat berkaitan gaya keibubapaan. Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden di kalangan ibubapa mempunyai tahap empati dan penghargaan kendiri yang tinggi, serta mengamalkan gaya keibubapaan autoritatif dalam mendidik anak-anak.