Title of article :
Tahap Keupayaan Pengajaran Guru Sejarah dan Hubungannya dengan Pencapaian Murid di Sekolah Berprestasi Rendah
Author/Authors :
AHMAD, ANUAR Universiti Kebangsaan Malaysia - Fakulti Pendidikan, Malaysia , ABD RAHMAN, SITI HAISHAH Universiti Kebangsaan Malaysia - Fakulti Pendidikan, Malaysia , ABDULLAH, NUR ATIQAH T. Universiti Kebangsaan Malaysia - Fakulti Pendidikan, Malaysia
Abstract :
Kajian ini bertujuan melihat hubungan pengajaran guru Sejarah dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sejarah dari perspektif murid berprestasi rendah SPM Sejarah di lima buah sekolah. Lima aspek pengajaran yang dikaji merangkumi Kebolehan Guru Sejarah (KGS), Kemahiran Mengajar Guru Sejarah (KMG), Teknik Pengajaran Guru Sejarah (TPG), Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan Perhatian Guru Sejarah Terhadap Kerja Murid (PTK). Seramai 436 orang murid tingkatan lima telah dipilih sebagai responden dari lima buah sekolah berprestasi rendah SPM Sejarah 2002, 2003, dan 2004 di Perlis dan Pulau Pinang yang memperoleh min 36.08 ke bawah. Responden terdiri daripada dua kumpulan dalam nisbah yang hampir sama; Melayu dan bukan Melayu serta lelaki dan perempuan. Satu set instrumen soal selidik telah digunakan dalam kajian ini untuk mengukur persepsi murid terhadap pengajaran guru Sejarah mereka. Dapatan kajian menunjukkan KGS dan KMG didapati positif, manakala TPG, BBM, dan PTK adalah sederhana positif. Persepsi murid kepada keseluruhan aspek pengajaran guru mereka pula adalah sederhana positif. Ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap pencapaian murid dalam Sejarah berdasarkan jantina dan bangsa. Sementara Ujian-t menunjukkan semua aspek pengajaran guru tidak menunjukkan perbezaan min yang signifikan mengikut jantina, tetapi berbeza secara signifikan mengikut bangsa. Analisis korelasi pula menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara empat aspek pengajaran Sejarah dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sejarah kecuali hubungan antara kemahiran mengajar guru Sejarah dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sejarah. Implikasi kajian kepada sekolah dan guru ialah perlunya usaha mencari pendekatan yang lebih baik untuk guru Sejarah memperbaiki dan pelbagaikan kemahiran mengajar mereka dalam melahirkan murid yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah.
Journal title :
Jurnal Pendidikan Malaysia
Journal title :
Jurnal Pendidikan Malaysia