Title of article :
Pengaruh Barat dalam Persuratan Melayu Awal di Malaysia
Author/Authors :
RAHAMAD, MOHAMMAD SALEEH
Abstract :
Makalah ini bersifat análisis historikal tentang pengaruh Barat dalam persuratan Melayu di Malaysia sejak kemunculan sastera bertulis sehingga periode awal sastera modennya. Bermula dengan sastera sejarah dan epik yang terhasil dalam abad ke-17 dan 18, sastera Melayu terus menyentuh citra Barat sama ada dalam soal genre mahupun unsur dalaman teksnya. Abdullah Munsyi yang berdamping dengan pegawai kolonial telah memperlihatkan kesan intelektualnya yang menyebelahi Barat dari segi peradaban. Lanjutan daripada itu, sastera moden di Malaysia yang mula berkembang pada dekad 20-an terus membuka ruang pewacanaan oksidentalismenya. Oksidentalisme yang disalurkan melalui karya sastera moden di Malaysia pada dekad 20-an ini terhasil daripada hubungan yang berlaku antara intelektual Melayu dengan dunia akademia di Mesir yang terbuka kepada kemasukan idea dari Perancis. Menjelang dekad 20-an, novel novel Melayu sudah memperlihatkan pengaruh Barat dari sudut idea dan peradaban yang dipandang murni oleh pengarang peribumi. Mereka mengakomodasikan nilai tersebut dengan gerakan sosial di Tanah Melayu dan menjadikan wacana oksidentalisme bersifat pro-Barat. Demikian juga yang terlihat dalam dekad 30-an apabila pengaruh itu masih menular di samping lahir pula pandangan kontra yang menanggapi nilai peradaban Barat sebagai pencetus kerosakan akhlak dalam masyarakat. Kesan daripada urbanisasi menjadikan kota sebagai citra kebobrokan sosial kerana di situlah berhimpunnya nilai Barat yang mengisi ruang hiburan yang hedonistik. Pemerhatian yang bersifat historikal ini akan memberikan gambaran wajah oksidentalisme di Malaysia pada periode awal pertembungannya dengan Barat.
Keywords :
pascakolonial , kolonialisme , neokolonialisme , oksidentalisme
Journal title :
Malaysian Journal Of Media Studies
Journal title :
Malaysian Journal Of Media Studies