Title of article :
Pengaruh Perancangan Strategik Dan Kepemimpinan Pentadbir Terhadap Pembentukan Sekolah Selamat
Author/Authors :
Sawi, Abdul Jawi Abnoh Universiti Malaysia Sabah, Malaysia , Abdullah, Mohd Yusof Universiti Malaysia Sabah, Malaysia , Din, Anuar Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
Abstract :
Tujuan utama kajian ialah mengenal pasti pengaruh perancangan strategik dan kepemimpinan pentadbir terhadap pembentukan sekolah selamat. Pengaruh kombinasi kedua-dua variabel ini terhadap pembentukan sekolah selamat turut dikenal pasti. Kekuatan pengaruh kedua-dua variabel juga dinyatakan untuk mengenal pasti variabel mana yang memberi pengaruh kuat terhadap pembentukan sekolah selamat. Selain itu, kajian ini juga mengenal pasti halangan-halangan yang mempengaruhi pembentukan sekolah selamat. Kajian ini adalah berbentuk kajian tinjauan sampel. Pengkaji telah menggunakan keseluruhan populasi seramai 110 orang dalam kalangan pentadbir sebagai sampel kajian. Instrumen kajian melibatkan soal selidik, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia-Sekolah (SKPM-S), temu bual, rekod senarai semak dan pemerhatian. Analisis data menggunakan analisis inferens berkaitan dengan analisis regresi pelbagai untuk menguji pengaruh perancangan strategik dan kepemimpinan pentadbir terhadap pembentukan sekolah selamat. Perisian komputer ’Statistical Package For Social Science’ versi 13.0 (SPSS for windows) digunakan untuk penganalisisan data. Kaedah analisis kualitatif pula menggunakan statistik kuasi dan kaedah triangulasi yang melibatkan temu bual dan pemerhatian untuk mengenal pasti halangan-halangan yang mempengaruhi pembentukan sekolah selamat. Hasil kajian menunjukkan perancangan strategik (ß=.709, t=10.444, p=.000) dapat meramal secara signifikan dengan menyumbang pengaruh sebanyak 50.2% varians terhadap sekolah selamat. Manakala kepemimpinan pentadbir (ß=.698, t=10.144, p=.000) juga dapat meramal secara signifikan dengan menyumbang pengaruh sebanyak 48.8% varians terhadap sekolah selamat. Ini bermakna perancangan strategik lebih berpengaruh berbanding dengan kepemimpinan pentadbir. Hasil kajian juga menunjukkan perancangan strategik dan kepemimpinan pentadbir (ß=.759, t=12.112, p=.000) dapat meramal secara signifikan dan menyumbang pengaruh sebanyak 57.6% varians terhadap sekolah selamat. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat halangan-halangan yang mempengaruhi pembentukan sekolah selamat sehingga sekolah tidak selamat. Diharap hasil kajian ini membolehkan kepemimpinan pentadbir dapat merangka perancangan strategik berkesan dan pentadbir menonjolkan ciri-ciri kepemimpinan berkesan untuk pembentukan sekolah selamat.
Journal title :
Journal Of Education: Jurnal Bitara Upsi Pendidikan
Journal title :
Journal Of Education: Jurnal Bitara Upsi Pendidikan